Friday, 29 May 2015

Kaedah, pendekatan dan teknik pengajaran komsas

1.0 Pendahuluan
Dalam sistem pendidikan negara, bahasa Melayu adalah mata pelajaran wajib yang perlu dipelajari secara formal oleh pelajar sekolah menengah. Penyerapan komponen sastera dalam pendidikan bahasa Melayu adalah pelengkap bagi mempelajari kemahiran bahasa yang difokuskan dalam bidang interpersonal, bidang maklumat dan bidang estatika. Komponen sastera juga sebagai pelengkap kepada kemahiran lisan dan bertutur, membaca dan menulis (Naffi Mat: 2006).
Namun, masalah yang sering dihadapi dalam pengajaran komsas ialah pelajar kurang berminat dan merasakan pengajaran komsas tidak menyeronokkan. Selain itu, ada yang beranggapan pengajaran komsas membebankan kerana banyak bahan atau karya yang perlu dibaca.
Manakala dari segi pengajaran pula, guru kurang melakukan hubungan atau relasi dengan para murid yang menjadi peserta didiknya. Guru juga kurang menggunakan alat ataupun media pembelajaran yang menjadi pendukung di dalam aktiviti pengajaran. Malah, ada sesetengah seorang guru tidak fokus terhadap pekerjaannya sebab kurang mampu menempatkan diri di hadapan pelajarnya dan tidak mempunyai idea atau motivasi untuk membuat kelas menjadi hidup (berkesan, kaku dan tak membosankan). Aktiviti pengajaran juga kurang melibatkan pelajar untuk bekerja di dalam kelompok – kelompok kecil bagi melakukan perbincangan ringkas.
 Masalah yang wujud ini haruslah ditangani dengan sebaik mungkin. Oleh itu, guru perlulah bijak untuk mengaplikasikan kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai untuk menarik minat minat pelajar terhadap komsas.

2.0 Objektif
Bagi mereka yang berkesempatan untuk membaca blog ini, diharap mereka dapat;
a)      Memahami masalah yang dihadapi dalam pengajaran Komsas
b)      Mengenal pasti kaedah dan pendekatan yang boleh digunakan dalam pengajaran Komsas
c)      Mengaplikasi teknik pengajaran yang disediakan dalam blog kepada pelajar

3.0 Kaedah Berfokus
Pendekatan berfokus ialah pendekatan kajian yang memberikan tumpuan pada sesuatu aspek sastera semasa pelajar mencerakin teks sastera. Walau bagaimanapun, terdapat juga unsur-unsur sampingan lain yang menjadi fokus kajian. Kajian yang dilakukan berdasarkan pendekatan ini boleh menghasilkan pencerakinan yang kemas kerana adanya pemilihan fokus pada aspek yang dibincangkan. Pelajar dapat meneliti hal-hal yang tersirat dan tidak terhad kepada perkara-perkara yang tersurat sahaja dengan melakukan pembacaan yang mendalam. Maka, jelaslah bahawa pendekatan berfokus ialah pendekatan pengajaran yang menekankan sesuatu aspek yang tertentu dalam sesebuah karya sastera bagi setiap pengajaran dan pembelajaran di samping menyentuh aspek-aspek lain secara sampingan. Terdapat beberapa ciri Pendekatan Berfokus seperti kajian bermula dan berdasarkan aspek yang paling menonjol dalam sesebuah karya sastera, aspek yang paling menonjol menjadi Fokus Utama, perkara atau aspek lain yang kurang menonjol menjadi Fokus Sampingan. Fokus Utama (FU) dan Fokus Sampingan (FS) saling berkaitan dan boleh bertukar ganti. Misalnya, dalam satu pelajaran, watak menjadi FU dan bahasa FS. Pada pelajaran lainnya bahasa menjadi FU dan watak FS.
Pengkaji telah memilih pendekatan berfokus untuk mengajarkan cerpen Jaket Kulit Kijang dengan memfokuskan perwatakan dan fokus sampingannya ialah sinopsis dan nilai. Latihan ini diharapkan dapat menjadi rujukan kepada pelajar-pelajar untuk menambahkan lagi penguasaannya dalam tajuk ini dan membantu guru yang kekeringan idea dalam mempelbagaikan pengajaran mereka.

4.0 Pendekatan Konstruktivisme


Mengikut Konstruktivisme, pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir. Individu ini tidak menyerap secara pasif sebarang pengetahuan yang disampaikan oleh gurunya. Murid akan menyesuaikan sebarang maklumat baru dengan pengetahuan sedia ada mereka untuk membentuk pengetahuan baru dalam mindanya dengan bantuan interaksi sosial bersama rakan dan gurunya
Konstruktivisme adalah satu pendekatan pengajaran berdasarkan kepada penyelidikan tentang bagaimana manusia belajar. Kebanyakan penyelidik berpendapat setiap individu membina pengetahuan dan bukannya hanya menerima pengetahuan daripada orang lain (McBrien & Brandt,1997). Manakala, menurut Briner, M.(1999) murid membina pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasikannya kepada situasi baru dan mengintegrasikan pengetahuan baru yang diperoleh dengan binaan intelektual yang sedia wujud.
Dalam proses membina pengetahuan baru, murid akan berfikir untuk menyelesaikan masalah, menjana idea, dan membuat keputusan yang bijak dalam menghadapi pelbagai kemungkinan dan cabaran. Sebagai contoh, ini boleh dicapai melalui aktiviti penyelidikan dan penyiasatan seperti mengenal pasti masalah, mengumpul maklumat, memproses data, membuat interpretasi dan membuat kesimpulan.
Kefahaman murid tentang sesuatu konsep dan idea lebih jelas apabila mereka terlibat secara langsung dalam pembinaan pengetahuan baru. Seorang murid yang memahami apa yang dipelajari akan dapat mengaplikasikan pengetahuan yang baru dalam kehidupan dan situasi baru. Setelah memahami sesuatu konsep, murid akan dapat mengingati lebih lama konsep tersebut kerana mereka terlibat secara aktif dalam mengaitkan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Murid yang belajar secara konstruktivisme diberi peluang untuk membina sendiri kefahaman mereka tentang sesuatu. Ini menjadikan mereka lebih yakin kepada diri sendiri dan berani menghadapi dan menyelesaikan masalah dalam situasi baru.






5.0 Nota Cerpen Jaket  Kulit  Kijang  Dari  Istanbul (Maskiah Haji Masrom)
5.1 Sinopsis
Mengisahkan aku yang mengikut rombongan Passage Tour and Travel ke Turki dengan membawa RM 1,800.00 atau USD400. Sebelum berlepas ke Turki, aku telah menyenaraikan barang-barang yang hendak dibeli sebagai cenderamata untuk saudara-mara, rakan-rakan dan pensyarah-pensyarah. Sebelum sampai di Istanbul, rombongan kami sudah melawat tempat-tempat bersejarah yang lain iaitu Bursa, Pamukkale, Konya, Cappadocia dan Bolu. Aku tidak membeli cenderamata yang unik di tempat yang telah dilawati, sebaliknya ingin membeli-belah di Istanbul. Encik Yuksel, pemandu pelancong sudah memberikan enam panduan membeli-belah di Istanbul iaitu jangan beli barangan di tepi jalan, jangan jalan bersendirian, jangan beritahu peniaga negeri asal, jangan naik ke tingkat atas, tawar harga barang yang hendak dibeli sehingga 70 peratus dan jangan gunakan kad kredit. Aku juga sudah mengetahui watak orang-orang Turki yang kasar dan tidak mempedulikan orang lain ketika melakukan tawaf daripada Hajah Normah.
Rombongan itu singgah di pusat beli belah Grand Bazaar yang menempatkan 6,000 buah kedai. Aku berjalan bersama-sama Kak Chah, Dr. liza, Shahmeem, Hajah Zalehon dan Hajah Normah. Aku dapati cenderaman yang dijual di Istanbul lebih mahal daripada di tempat-tempat lain yang telah dilawati di Turki. Aku serta rakan-rakannya juga berasa sukar untuk menawar harga barangan yang hendak dibeli kerana tiada tanda harga dipamerkan dan harga barangan hanya akan diberitahu jika ditanya. Melintasi sebuah kedai menjual jaket kulit, Aku terpaku pada sepasang sarung tangan kulit berwarna hitam di rak cermin. Aku mengimbas akan abang Long yang menunggang motosikal pergi balik kerja. Andai ada sarung tangan kulit, tentu tangan Abang Long itu tidak terdedah pada terik matahari. Pemuda Turki yang tampan selaku penjual di kedai itu seakan dapat membaca isi hati menunjukkan sarung tangan kulit itu namun Aku tidak berani mengambilnya kerana tidak mengetahui akan harganya. Penjual yang tampan itu amat ramah dan bijak memujuk pelanggan dan berbudi bahasa pada awalnya. Pekedai itu tidak berhenti memujuk kami supaya masuk ke kedainya dan membeli jaket kulit di kedainya dan telah menghidangkan air teh panas perisa epal ketika kami berada di dalam kedainya.
Pemuda tampan itu menyuruh aku mencuba jaket kulit yang cantik berharga USD380 kemudian dikurangkan kepada USD350 dan akhir sekali USD280. Walau bagaimanapun, Aku masih belum berniat untuk mencari pengganti jaket kain yang telah lama berkhidmat kepadaku dan tidak cukup duit. Namun, kerana ingin mengambil hati rakan-rakannya atau terhutang budi kerana secawan teh epal, Aku cuba mengenakan jaket kulit tersebut. Setelah Hajah Normah, Dr. liza, Hajah Zalehon, Kak Chah dan Shahmeena telah membayar harga jaket pilihan mereka, aku tinggal seorang diri di dalam kedai dan terus didesak oleh pekedai itu supaya membeli jaket kulit itu.  Aku dengan kata-kata berbudi bahasa mengambil keputusan untuk tidak membeli jaket tersebut. Wajah pekedai bertukar masam dan marah dengan tindakan Aku dan mengeluarkan kata-kata kesat dan menghalang laluanku. Aku tidak menyangka akan diperlakukan seperti itu. Setahu aku, sepanjang di Turki aku sudah bersedekah sebanyak empat kali dan melengkapkan diri dengan bacaan Yasin dan al-Mathurat sebagai pendinding diri.
Semasa di dalam bas pulang ke hotel aku membaca puisi karya Mevlana dalam buku Mevlana Celaleddin Rumi and The Whirling Dervishes yang dibeli di Konya. Puisi-puisinya bertemakan kasih sayang sesama insan tanpa tanpa mengira agama dan bangsa. Pemikiran Mevlana bertentangan dengan sikap pekedai jaket kulit tadi. Perjalanan melawat Egyptian Market, Aku didatangi seorang remaja kurus dan bercakap separuh berbisik menjual barangan Black market. Melewati rakan Aku, Kak Chah dan Shahmeem, lelaki dewasa bertubuh tegap iaitu seorang polis menangkap remaja tersebut atas kesalahan menjual barangan Black market. Ketika beratur menaiki feri menyeberangi Selat Bhosporus, seorang lelaki tua dengan berani meletakkan sehelai jaket kulit berwarna hitam di lengan Aku. Rakan Aku, Shahmeem menunjukkan minat dan membeli dengan harga AS$ 120, namun tidak sesuai dengannya apabila dipakai. Shahmeem menjual pula kepada Aku dengan harga AS$100. Aku terpaku namun dapat menggembirakan hati Shahmeem. Aku juga menggambarkan tidak praktikalnya jaket itu digunakan di Malaysia, tidak sesuai dipakai dengan cuaca di Malaysia. Perlu dijaga dengan rapi, tidak boleh dilipat sembarangan, kulitnya tidak tahan lasak dan jika koyak pula tidak dapat dijahit dengan benang. Jelas sekali Aku terlihat lebih seekor Kijang akan dibunuh untuk mendapatkan sehelai jaket kulit.
Akhirnya  Aku berhasrat untuk menggembirakan orang lain. Dia akan menjual jaket itu dan wang jualan akan didermakan kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang, sabagai tanda muhibah terhadap kijang-kijang yang terkorban demi gaya hidup yang penuh dengan kemodenan.

5.2  Watak dan Perwatakan


5.2.1        Watak Utama: Aku ( Mas )
a)      Gemar membaca.
Aku gemar membaca kerana dia akan leka membeli dan membaca buku jika terjumpa kedai yang menjual buku.
b)      Baik dan murah hati.
Aku begitu bermurah hati dengan memberikan wang sebanyak lima lira kepada wanita tua yang menjual makanan burung walaupun harga sepiring hanya satu lira.
c)      Berbudi bahasa.
Aku dengan sebaik mungkin berbudi bahasa kepada pekedai Turki kerana tidak mahu membeli jaket kulit agar pekedai itu tidak berasa kecil hati.
d)     Tidak boros berbelanja.
Aku tidak terpengaruh dengan layanan mesra pekedai Turki agar membeli jaket kulit kijang itu.
e)      Sayang akan haiwan.
Aku begitu menyayangi haiwan seperti kijang kerana dia berhasrat untuk memberikan wang hasil jualan jaket kulit kijang kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang agar dapat memelihara haiwan tersebut daripada menjadi korban arus pemodenan.
f)       Bersederhana apabila berbelanja.
Aku telah membuat senarai barangan yang hendak dibeli agar tidak melebihi perbelanjaan yang telah diperuntukan.
g)      Penyabar
Mas tetap bersabar walaupun dimarahi dan dilayan dengan buruk oleh pekedai Turki.

5.2.3        Watak Sampingan
5.2.3.1 Pekedai Turki
a)      Pemuda berkulit putih
b)      Mempunyai kumis (misai)
c)      Fasih berbahasa inggeris.- Pekedai Turki berbahasa inggeris apabila berkomunikasi dengan pelanggan yang datang ke kedainya.
d)     Peramah dan mesra. Pekedai Turki kelihatan begitu peramah dan mesra ketika melayan pelanggan di kedainya.
e)      Tidak berputus asa. Pekedai Turki tidak berputus asa memujuk pelanggannya membeli barang jualannya.
f)       Pandai mengambil hati. Pekedai Turki sangat pandai mengambil hati pelanggannya dengan memberikan kata-kata manis.
g)      Cepat marah. Pekedai Turki cepat naik amarah kerana pelanggannya tidak mahu membeli barangannya walaupuan telah mencubanya.
5.2.3.2 Polis Turki
a)      Lelaki dewasa
b)      Bertubuh tegap
c)      Berbaju T dan berseluar panjang
d)     Berwajah serius –Polis Turki kelihatan serius ketika dia menjalankan tugasnya apabila dia menangkap seorang remaja yang menjual barangan pasaran gelap.
5.2.3.4 Shahmeem
a)      Kawan kepada Aku
b)      Mudah terpengaruh. Shahmeem terpengaruh dengan sehelai jaket hitam yang dijual secara pasaran gelap tanpa mengetahui ukuran saiznya.
c)      Murah hati. Shahmeem bermurah hati dengan mengurangkan sebanyak AS$20 daripada harga asal pasaran gelap kepada Aku kerana jaket kulit kijang itu tidak padan dengannya.
5.3 Nilai
1.      Kegigihan – pekedai Turki begitu gigih dan tidak berputus asa meyakinkan pelanggannnya agar membeli barangan kulitnya.
2.      Keprihatinan – Aku begitu prihatin dengan pembunuhan haiwan kijang kerana kulitnya untuk dijadikan jaket.
3.      Berjimat cermat – Aku telah membuat senarai barangan yang perlu dibeli untuk dibawa pulang agar tidak melebihi perbelanjaan.
4.      Keikhlasan – Aku dengan ikhlas memberi derma kepada pengemis seperti pengait benang, kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta serta lelaki tua yang cacat anggotanya.
5.4 Pengajaran
1.      Kita haruslah bersikap berjimat cermat dalam urusan perbelanjaan seharian maupun semasa melancong ke luar negara. Contoh: Cenderamata untuk keluarga : 29 helai baju T, 2 helai untuk keluarga Anim, masing-masing sehelai untuk Tahrir, Nadia dan Salleh.
2.      Kita hendaklah bersikap ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara tanpa mengira taraf kehidupan seseorang. Contoh: Aku begitu bermurah hati dengan memberikan wang sebanyak lima lira kepada wanita tua yang menjual makanan burung walaupun harga sepiring hanya satu lira serta ikhlas memberi derma kepada pengemis seperti pengait benang, kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta serta lelaki tua yang cacat anggotanya.
3.      Kita wajar mempunyai sikap gigih dalam melakukan pekerjaan supaya hasil yang diinginkan tercapai. Contoh: Pekedai Turki gigih memberikan layanan yang mesra kepada pelanggannya dengan memberikan layanan yang baik serta memberikan minuman percuma kepada pelanggannya dengan harapan pelanggannya itu membeli barangannya.
4.      Kita patut bersikap prithatin terhadap haiwan yang dilindungi agar habitatnya tidak pupus. Contoh: Aku begitu prihatin terhadap haiwan seperti kijang kerana dia berhasrat untuk memberikan wang hasil jualan jaket kulit kijang kepada mana-mana zoo yang mempunyai kandang kijang agar dapat memelihara haiwan tersebut daripada menjadi korban arus pemodenan.

6.0 Teknik-teknik dalam pengajaran komsas
Pelbagai teknik boleh dilakukan oleh guru untuk menjadikan pengajaran itu menyeronokkan dan berpusatkan murid. Antara tekniknya adalah seperti berikut:
6.1 Teknik Bedah Karya
Definisi
Proses mengesan maklumat tentang aspek-aspek sastera yang tertentu seperti latar masyarakat, nilai masyarakat dan bentuk sajak.
Langkah Pelaksanaan Teknik
i. Guru memilih bahan sama ada prosa atau puisi yang akan diajar.
ii. Guru memilih aspek komsas yang akan menjadi fokus perbincangan  pada hari itu.
iii. Guru menandakan aspek yang akan menjadi fokus pembelajaran dalam bahan yang disediakan dengan menggunakan simbol-simbol tertentu atau garisan-garisan
iv. Murid diarahkan untuk memasukkan maklumat berdasarkan simbol dan garis yang dibina oleh guru dalam bahan.
 Aktiviti ini perlu diikuti dengan semakan jawapan secara perbincangan kelas dan pengukuhan kefahaman akan konsep tersebut oleh guru dan murid.
Contoh Latihan
Nyatakan perwatakan watak berdasarkan ayat yang dihitamkan dalam petikan.

Malam terakhir di Istanbul, kak Chah yang sebilik denganku tidur awal. Pasti kepenatan selepas berjalan mengelilingi kota bersejarah itu. Aku menyusun barang-barang  yang akan dibawa pulang. Tiga buah buku, enam belas baju –T, tujuh kotak manisan kokum, dua kotak buah epal, sepuluh utas rantai kunci, lapan bentuk senduk kayu bertulis ayat Al-Quran, empat keping pelekat magnet, tiga utas gelang manik, lima buah anak patung Turki,dan sebotol orga.Kesemuanya tidak menurut jumlah yang telah aku rancangkan. Bermakna, banyak  yang tidak akan mendapat cenderamata sekembalinya aku dari Turki.
Sebenarnya duit aku cuma tinggal USD70 selepas aku membeli jaket kulit kijang. Aku memandang jaket yang kini terletak  diatas katil. Aku hanya membayar USD 100 kepada Shahmeem. Dia mengurangkan USD20 daripada harga pasaran gelap sebagai tanda terhutang budi.
Aku tidak nampak praktikalnya jeket itu untuk kegunaan harian di Malaysia. Memakainya pasti akan membuat diri terasa panas dalam cuaca terik di tanah air. Jika keluar negara, jaket itu cuma sesuai dipakai pada musim sejuk.
Menjaganya pasti memerlukan kerapian. Tidak boleh dibasuh. Tidak boleh dilipat sembarangan. Walaupun harganya mahal, jaket kulit bukannya sesuatu yang tahan lasak. Kainnya mudah carik jika koyak, tidak dapat dijahit dengan benang.

6.2  Teknik Meramal
Teknik ini boleh didefinisikan sebagai melukis atau menampal wajah watak.
Langkah mengajar:
a)      Murid membaca petikan cerpen
b)      Murid berbincang dalam kumpulan untuk mengenal pasti watak utama dan watak sampingan.
c)      Dalam kumpulan, murid akan berbincang tentang perwatakan luaran dan dalaman watak utama dan watak sampingan.
d)     Berdasarkan perwatakan luaran dan dalaman, murid akan melukis atau menampal wajah watak tersebut.
Teknik ini amat sesuai digunakan dalam pengajaran cerpen dan novel.

Contoh soalan
Berdasarkan peta buih di atas, lukiskan gambar watak yang sesuai dengan perwatakan yang diberikan. Kemudian, isikan tempat kosong dengan jawapan yang sesuai.

6.3 Teknik Tunjuk Cara
i. Seorang  murid diminta ke hadapan kelas untuk membacakan satu petikan daripada cerpen.
ii. Setiap orang murid diberi petikan yang sama dalam bentuk lembaran grafik.
iii. Guru meminta murid mengenal pasti  nilai kemanusiaan  yang terdapat dalam petikan
iv. Guru mendorong murid melengkapkan lembaran grafik
v. Guru mengedarkan petikan lain untuk dilengkapkan oleh pelajar.
        i.            Tunjuk cara teknik  (contoh cerpen: Jaket  Kulit  Kijang  Dari  Istanbul)

a)      Guru memilih seorang murid sebagai watak utama (Aku / Mas) dan enam orang murid untuk bertanya soalan yang telah disediakan oleh murid.

b)      Contoh soalan-soalan:

1.      Apakah aku ikhlas memberi derma kepada pengemis seperti pengait benang, kanak-kanak bersama-sama datuknya yang buta serta lelaki tua yang cacat anggotanya?
2.      Sebagai seorang yang pembeli, adakah aku prihatin terhadap haiwan yang dilindungi?
3.      Adakah kita perlu berjimat cermat ketika berbelanja?

c)      Guru mengarahkan murid lain mengisi nilai dan pengajaran dalam bahan lampiran berdasarkan jawapan yang diberikan oleh peranan utama.

d)     Contoh soalan dalam bahan lampiran:

  1. Kita haruslah bersikap……….. (berjimat cermat) dalam urusan perbelanjaan seharian maupun semasa melancong ke luar negara.
  2. Kita hendaklah bersikap ………… (ikhlas) dalam melakukan sesuatu perkara tanpa mengira taraf kehidupan seseorang.
  3. Kira patut bersikap………... (prithatin) terhadap haiwan yang dilindungi agar habitatnya tidak pupus.

Rumusan, murid diminta menyenaraikan nilai berdasarkan jawapan yang ditulis dan menyatakan pengajaran berdasarkan nilai dengan sokongan peristiwa dalam cerpen yang berkaitan.

7.0 Kesimpulan
Sebenarnya terdapat banyak kaedah, pendekatan dan aktiviti yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran Komsas. Oleh itu, guru perlulah mempunyai pengetahuan dan menguasai pelbagai kemahiran mengajar atau pedagogi terkini yang melibatkan kaedah, pendekatan, teknik dan strategi mengajar komsas. Guru juga perlu mahir untuk menggunakan pelbagai kaedah pengajaran bagi memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Banyak pendekatan pengajaran yang boleh digunakan oleh guru seperti pendekatan konstruktivisme, konstektual, koperatif dan kolaboratif.  Selain itu, untuk melahirkan insan bestari, guru perlu mengambil kira kepelbagaian pembelajaran murid yang visual, auditori dan kinestetik dan digabungkan pula dengan pelbagai tahap kecerdasan murid seperti yang terkandung dalam Teori Pelbagai Kecerdasan Howard Gardner iaitu logik, linguistik, muzik, kinestatik, interpersonal, intrapersonal, ruang dan naturalistik.






Monday, 4 May 2015

OHH..KOMSAS ITU MENYERONOKKAN!!

Seseorang guru yang mengajarkan KOMSAS perlu mengambil langkah yang proaktif dalam menyampaikan ilmu sastera yang sememangnya indah dan sesak dengan nilai moral yang boleh diteladani. Pelbagai pendekatan dan teknik yang boleh dijalankan oleh guru sastera untuk diaplikasikan di dalam bilik darjah. Guru yang kreatif mampu menarik minat murid untuk belajar sekali gus menanam minat dalam menghasilkan pelbagai karya sastera sebagai penyambung generasi sastera. Kaedah pengajaran yang berkesan mampu menimbulkan perasaan keseronokan dalam diri murid dan akhirnya mereka mampu mengikuti sesi pegajaran dan pembelajaran yang berkesan. Maka, penulis terpanggil untuk membincangkan satu aktiviti yang dirasakan seronok dan mampu menarik murid meminati sastera melayu iaitu aktiviti berasaskan Eksplorace. 


Penulis telah menghasilkan sebuah rancangan pengajaran harian yang boleh dijadikan panduan kepada guru-guru lain untuk diaplikasi di dalam kelas.

Rancangan pengajaran harian
Tingkatan: 4 Bestari
Waktu: 8.35-9.45 pagi
Jumlah pelajar 30 orang

1.      10 minit
·         Guru memberi arahan yang jelas kepada murid.
·         Guru menerangkan peraturan permainan kepada murid dan cara permainan.
·         Guru mengagihkan kumpulan murid.
·      Murid dipecahkan kepada 5 kumpulan. Anggota kumpulan terdiri daripada 6 orang murid.
·         Setiap kumpulan harus bergerak bersama-sama dan berbincang tentang soalan yang diberikan.
·         Setiap kumpulan dibekalkan sehelai kertas untuk mencatat hasil dapatan.
·         Ahli kumpulan dibenarkan membawa buku teks komsas sebagai rujukan.
2.      40 minit
·         Klue akan dimasukkan ke dalam sampul surat.
·         Setiap klue yang seterusnya akan disorok di setiap stesen yang ditetapkan.
·         Sebanyak 5 buah stesen telah dipilih untuk permainan ini.
·         Setiap kumpulan diminta mencabut satu sampul surat yang berlainan warna.
·      Selesai mencabut, murid diminta bergerak ke stesen yang diarahkan. Setiap kumpulan beredar berdasarkan klue yang terdapat dalam sampul surat tersebut.
·    Setelah sampai di stesen, ahli kumpulan diminta menyelesaikan soalan tersebut di stesen itu dan setelah selesai menjawab soalan di kertas yang dibekalkan, ahli kumpulan perlu mencari klue yang disorokkan di stesen berkenaan.
·     Kumpulan yang berjaya menemukan klue tersebut barulah boleh meneruskan permainan ke stesen berikutnya.
·     Begitulah seterusnya sehinggalah selesai menjawab soalan dan dan mencari klue sehingga stesen yang terakhir.
·  Ahli kumpulan yang melanggar peraturan dianggap kalah dan tersingkir daripada permainan.
3.      25 minit
·         Pembentangan ahli kumpulan
·         Pembentangan tugasan yang telah dilaksanakan
·         Setiap ahli kumpulan diminta membentangkan hasil dapatan masing-masing.
·   Guru sebagai pemudah cara akan membantu sekiranya ada percanggahan pendapat atau idea.
4.      5 minit
·         Guru membuat kesimpulan pembelajaran yang berlaku pada hari itu.
·  Guru memilih kumpulan pemenang dengan mengambil kira kerjasama, melaksanakan tugasan yang diberikan dengan sempurna dan menepati masa.
·         Pemenang akan diberi hadiah.

Soalan dalam setiap sampul surat yang disorok

1.      Tugasan mengikut tajuk pengajaran pada hari itu.
2.   Soalan yang diberikan mengikut aras taksonomi bloom iaitu bermula dengan soalan yang mudah sehinggalah kepada soalan yang sukar dan memerlukan murid berfikir aras tinggi.
3.      Soalan-soalan berbeza di setiap stesen.

·    Stesen 1: Bincangkan nilai keberanian yang terdapat dalam drama ini beserta contohnya.
·    Stesen 2: Andaikan anda menjadi watak utama dalam drama tersebut, apakah yang akan anda lakukan untuk mengatasi masalah yang dialami.
·         Stesen 3: Mengapakah keris penting kepada masyarakat melayu?
·         Stesyen 4: wajarkah isu ini dikupas? Mengapakah? Berikan hujah anda.
·         Stesyen 5: Tukarkan dialog dibawah menjadi cakap pindah.